12 October 2008

Puasa Enam Syawal

Hadith Nabi SAW:
من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر
Ertinya: “Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Riwayat Al-Bukhari, Muslim).

Menerusi hadis di atas dapat kita fahami bahawa keutamaan puasa sunat pada bulan Syawal adalah seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. Menurut Syaikh Abdullah al-Bassam: Barang siapa berpuasa enam hari pada bulan Syawal setelah Ramadan maka seakan-akan dia berpuasa fardu setahun. Ini adalah kerana satu kebaikan dibalas dengan sepuluh kali ganda sepertinya.

Puasa pada bulan Ramadan dibalas dengan ganjaran bersamaan sepuluh bulan (iaitu bersamaan dengan 300 hari), puasa enam hari (pada bulan Syawal) pula mendapat ganjaran sebanyak dua bulan (iaitu bersamaan dengan 60 hari), yang demikian itu menjadi sunah yang sempurna, maka tercapailah pahala beribadah setahun tanpa kesulitan sebagai kurnia daripada Allah dan nikmat ke atas hamba-Nya. – Taudhih al-Ahkam min Bulughul Maraam, jilid 3, ms. 576, Pustaka Azzam.

Cara yang paling utama untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah Hari Raya Aidilfitri secara langsung (iaitu pada tarikh 2 Syawal), berturut-turut sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam al-Syafie. Namun begitu seseorang juga bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahan mahupun akhirnya dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut mahupun berpisah-pisah.

Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bidaah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w.

Apa yang lebih utama adalah menyempurnakan puasa bulan Ramadan terlebih dahulu yakni dengan menggantikan puasa-puasa yang tertinggal kemudian baru dikerjakan puasa sunat Syawal.

1 comment:

faisol said...

terima kasih sharingnya...
semoga bisa menjadi ilmu yg bermanfaat & Multi Level Pahala (MLP), amin...

sebagai tambahan, saya membuat tulisan tentang "Sudahkah Kita Mengindahkan Perasaan Orang Lain?"
silakan berkunjung ke:

Sudahkah Kita Mengindahkan Perasaan Orang Lain?
link di atas adalah tulisan ke-1 dr 2 buah link tentang mengindahkan perasaan orang lain)

semoga Allah menyatukan dan melembutkan hati semua umat Islam, amin...

salam,
achmad faisol
http://achmadfaisol.blogspot.com/